PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengambil tindakan tegas terhadap tujuh pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) yang terlibat dalam kes buli tular baru-baru ini, dengan menyarankan agar kesemua mereka ditamatkan pengajian.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di Facebook berkata, hasil siasatan Jawatankuasa Disiplin Maktab mendapati dua pelajar terlibat secara langsung dalam perbuatan buli fizikal manakala lima lagi merupakan subahat.
“Saya mohon maaf, saya tidak setuju untuk mereka diberikan peluang kedua.
“Sejak dari awal saya diamanahkan sebagai Pengerusi MARA, saya sudah berkali-kali tegaskan bahawa prinsip saya adalah ‘You Touch You Go’,” katanya.
Menurutnya, MARA tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk budaya buli di mana-mana Institusi Pendidikan MARA (IPMA), termasuk MRSM.
“Tidak kira anak siapa sekalipun, Tan Sri, Datuk hatta anak orang berpengaruh. Jika terlibat dalam buli, tindakan tegas dan keras akan diambil. Tidak perlu cari jalan untuk berjumpa saya bagi tujuan merayu,” tegasnya.
Terdahulu, satu video berdurasi 1 minit 31 saat tular di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar lelaki bertindak agresif terhadap seorang pelajar lain yang terbaring di atas katil.
Susulan video tular itu, Asyraf Wajdi mengarahkan pegawainya untuk menjalankan siasatan segera dan memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap pelaku.
“Ingat, tiada tempat untuk pembuli di MRSM,” tegasnya lagi.